Tuesday 8 July 2014

‘Usah main redah’


Tiada orang ketiga dalam hubungan suami isteri yang boleh terlepas daripada menjalani hukuman jika disabit bersalah, termasuklah wanita yang berhasrat menjadi isteri kedua hingga menyebabkan rumah tangga lelaki itu berkecai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, meskipun Islam membenarkan lelaki berkahwin sehingga empat, ia bukan halangan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Akta 559 Wilayah Persekutuan) dikuatkuasakan.

“Mengikut seksyen ini, mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk lelaki atau perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan serta tanggungjawab sebagai suami atau isteri, maka dia bersalah dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bermaksud di sini jika ada lelaki yang kata dia boleh berkahwin empat dan tak boleh disamakan dengan orang ketiga, dia sebenarnya silap kerana perempuan (teman wanita) boleh dihukum jika berniat menghasut suami tadi supaya mengabaikan tanggungjawab dan bercerai.

“Kalau nak kahwin pun, lelaki boleh berkahwin tetapi tak perlu sampai nak runtuhkan perkahwinan terdahulu. Isterinya boleh mendakwa teman wanita baru suami atas dakwaan hasutan bercerai dan tinggalkan tanggungjawab di bawah seksyen itu,” katanya.

Menurutnya lagi, mana-mana suami atau isteri yang menghadapi kemelut itu seharusnya tidak gentar menegakkan keadilan dan berkait pencarian bukti bagi menyokong setiap aduan.
“Dalam hal ini terletak di bawah kebijaksanaan pendakwa raya mencari bukti sesuai bagi menyokong kes. Selain matlamat utama undang-undang ini adalah juga memastikan kekukuhan keluarga Islam terpelihara.

“Ramai pasangan sebenarnya tidak tahu mengenai kewujudan seksyen ini, walhal kami sedar orang ketiga menjadi satu ancaman dalam institusi kekeluargaan Islam yang membawa kepada keruntuhan masjid dibina pasangan berkahwin secara sah.
“Jadi, mereka kena selidik balik Seksyen 36 hingga 38 Akta 559 ini kerana dinyatakan dengan jelas bagi setiap kesalahan daripada membawa lari isteri orang kepada pelaku yang menghalang pasangan menjalani kehidupan suami isteri sehinggalah kepada hasutan bercerai.

Katanya, pasangan bermasalah hanya perlu adukan ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam membuat laporan.

Dalam pada itu Kamilia memperjelaskan, contoh lain membabitkan isteri yang mempunyai teman lelaki yang menurutnya suami boleh menghukum lelaki terbabit atas kesalahan memujuk lari perempuan yang sudah bersuami di bawah Seksyen 36. “Kalaupun pasangan itu sudah bercerai, dalam masa sama suami tadi boleh juga menghukum lelaki yang menjadi pasangan terbaru isteri dia, tertakluk Seksyen 36 yang sabit bersalah boleh dikenakan hukuman serupa dengan Seksyen 38.

“Kerana dalam Islam, seorang lelaki tidak boleh mengganggu atau berniat mengambil perempuan yang sudah menjadi isteri kepada lelaki lain dan peruntukan ini sebagai memelihara keharmonian, sekali gus peringatan kepada lelaki supaya tidak ‘main redah saja’.


No comments:

Post a Comment